CIPTA DIRI SENDIRI

Seorang sahabat meminta saya mengupas topik yakin diri ini. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi dengan sahabat sekalian akan hal ini.

Jikalau tidak, berasa saya hanya menulis atas kapasiti syok sendiri. Waima, saya menulis atas apa yang saya rasai. Terima kasih syg.💋

Saya merupakan anak bongsu daripada 13 orang adik-beradik.

Bongsu! Zuppp! Sangat sinonim dengan karakter manja, lembik dan dependent.

Namun, sedari kecil saya berusaha untuk ‘switch’ menjadikannya terbalik.

Manja itu biar bertempat kerana sifat manja adalah karakter semulajadi seorang wanita. Mana boleh dilenyapkan DNA itu daripada sosok tubuh seorang wanita. Meskipun, luarannya persis anggota regim bridge komando.

Lembik itu biar bertempat kerana faktor usia pasti tenaga kita kendur menjadi lembik. Namun, bab lain pastinya padu.

Dependent itu saya hapuskan sama sekali dalam hidup saya kerana inilah pembunuh tegar kemandirian dan kemenjadian seseorang, tidak kira lelaki ataupun wanita.

Lalu, saya membesar dengan minda yang saya bangun dan ciptakan untuk diri sendiri ini tanpa campur tangan kuasa veto yang lain.

Pantas sahaja, saya kelihatan boleh berdikari tanpa bantuan wang ringgit, sokongan mahupun dukungan para ‘mereka’ yang telah sebati dengan lautan masin.

Justeru, di kala rakan seperjuangan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti usai tingkatan 6 pada tahun 1996, saya meleburkan harapan keluarga dengan merantau ke Kuala Lumpur dengan tujuan bekerja mencari duit untuk sambung belajar.

Saya tidak mahu membebankan ahli keluarga memandangkan masing-masing dengan keluarga masing-masing.

Akhirnya, saya berjaya mengumpul sejumlah wang untuk bayaran kapal terbang pulang ke Sabah juga kos yuran memasuki universiti. Saat ini hanya ada syarikat penerbangan MAS, tiada satu pun penerbangan lain yang bak cendawan tumbuh sleeoas hujan, kini.

Apa saya mahu kongsikan ialah, untuk yakin diri bermula pada bahagian bawah dada sebelah kanan kita.

Selalu bermonolog bahawa apapun boleh diubah! Tiada yang mustahil untuk diubah melalui hayat nyawa yang Dia telah Tentukan.

Selain hayat nyawa, apa sahaja perkara di dunia ini boleh kita ubah.

Kalau tidak berubah sebab 2 sahaja.

Takut. Takut bayang-bayang. Belum berlaku telah takut. Sudah berlaku, boleh jatuh pitam gamaknya.

Kedua, selesa. Tidak kisahlah selesa dalam keadaan berbuat baik mahupun sebaliknya.

Tidak suka akan cabaran. Menidakkan kegembiraan, keceriaan dan kebahagiaan yang kadang-kala lebih terpancar pantulan warna gemilangnya, bila mana kita membuat perubahan.

Analoginya, kita asyik makan lauk sama setiap hari. Ayam masak ini, masak itu, masak begini, masak begitu.

Ubahlah, sekali-sekala makan buah waktu malam sebagai makan malam. Makan pisang goreng masa minum petang itu sebagai 2, dalam 1. Minum petang merangkap makan malam.

Kita sendiri telah latih minda, hati dan luaran kita untuk kekal dalam posisi yang sama seperti mana 15 tahun yang lalu. Hambar. Bosan. Lesu. Nampak berusia daripada umur sebenar.

Sebab kita takut buat perubahan. Tidak yakin diri. Takut apa orang kata. Takut hasilnya gagal. Takut dicemuh. Takut dibawangkan.

Allah!

Kiri kanan, tepi tengah, atas bawah, hadapan belakang semua arah, dilimpahi rasa takut.

Satu sahaja yang bersifat asli akan takut ini. Takut amal ibadah kita perbuati selama ini, tidak cukup memberati neraca timbangan kita ke kanan.

Dimomokkan lagi dengan sikap selesa. Selesa berbuat dosa. Selesa bergaduh hal remeh-temeh walaupun sesama adik-beradik. Selesa untuk berbalas cacian, kutukan walaupun sesama bangsa dan agama.

Kalau hal yang baik pula, selesa dengan ledakan gajet kini. Selesa meneroka alam maya daripada meneroka alam nyata, alam semesta yang banyaknya bersifat membaik pulih kerosakan wayar minda yang rentung sana sini.

Bukannya kita menolak apa yang datang. Namun, kita perlu bina perisai dalaman untuk sentiasa yakin diri bahawa kita lebih tahu apa yang terbaik buat diri kita daripada orang lain.

Bukannya kita mengikut sahaja. Kita sendiri perlu tahu mengapa kita perlu ikut. Untuk apa kita ikut. Bagaimana kita mahu ikut.

Sebab itu, sangat penting apa dalam hati, apa dalam minda dan apa yang kita tuturkan, mestilah selari. Jika garisannya mengufuk, pastikan semuanya dalam posisi selari tidak mencapah, menegak mahupun menirus.

Dahulu, anak-anak saya terutama Izzatul selalu kata, ‘susah’ lah, terutama semasa saya menyelia mereka mengulang kaji pelajaran.

Lantas, saya beritahu begini:

“Ibu tidak suka perkataan itu. Mesti cakap ‘senang.’ Apa yang kita cakap, minda akan analisis dan itulah yang terjadi.”

Kini, mereka tidak pernah berkata sedemikian lagi. Bahkan pernah sekali hampir tersebut, cepat-cepat mereka counter back.

Tiada sesiapapun yang yakin kita boleh lakukannya, melainkan diri kita sendiri yang kita bentuk menjadi orang hebat.

Bukan bermatlamat dipuja puji. Bermatlamatkan kemandirian dan kemenjadian diri.

#MO

KUASAI SUBJEK MELALUI TEKNIK

2 minggu yang lepas, saya terserempak dengan seorang ibu kepada rakan sekelas Multazam.

Beberapa kali juga, beliau menyatakan kepada saya bahawa anak-anak saya sangat bagus dalam subjek agama seperti Pendidikan Islam, Jawi dan Bahasa Arab meskipun anak-anak saya tidak bersekolah agama seperti kebanyakan pelajar muslim yang lain.

Bukan sebab tidak mahu menyekolahkan mereka sekolah agama namun, dek masalah kenderaan ditambah pula kawasan perumahan kami ini tiada masuk pengangkutan awam seperti bas.

Maka, ia memang menyukarkan saya untuk menghantar mereka ke sekolah agama.

Lalu, saya berusaha sedaya upaya untuk pastikan mereka tidak tercicir dalam 3 subjek agama ini.

Tidak keterlaluan juga jikalau saya katakan bahawa markah bagi ketiga-tiga subjek itu lebih baik berbanding sebilangan rakan sekelas mereka yang bersekolah agama, yang memang ada belajar secara formal.

Saya hanya menekankan kepada anak-anak saya, dalam subjek apapun, kuasa teknik.

Teknik itulah yang kalau betul memang sangat menjadi.

Matematik, English mahupun subjek teras yang lain, memang saya dedahkan mereka kepada ‘teknik.’,

Selain melancarkan cara mereka menjawab dan menguasai soalan dengan kemas sekali ia juga dapat menjimatkan masa yang diperuntukkan untuk menjawabnya semasa menduduki peperiksaan.

Bahasa Arab sedikit mencabar jika dibandingkan dengan English.

Namun, saya hanya dedahkan teknik untuk menjawab soalan dengan betul.

Selain menghafal kosa kata berdasarkan silibus, ia juga perlu memahami teknik dipadukan dengan tatabahasanya.

Seronoknya saya apabila, anak-anak mahupun pelajar di bawah seliaan saya mampu kuasai teknik untuk dapat markah penuh.

#MO

SALING MELENGKAPI

Ia bukannya nilai duit yang kita pecutkan.

Ia bukannya nilai nama yang kita rebutkan.

Ia juga bukannya nilai estetika yang kita celarukan.

Ianya adalah nilai ‘bagaimana kita melaluinya seharian dan dengan siapa kita habiskannya.’

Apabila kita melihat dengan mata hati, seninya hidup ini dengan saling melengkapi, bercantumnya tali sesama tali untuk saling menyantuni, pasti kita boleh belajar hidup dalam tenang dan bahagia.

Melihat pokok, kita berbual dengannya.
Melihat pasu, kita berbual dengannya.
Melihat kipas, kita berbual dengannya.
Melihat kucing liar atau bertuah, kita berbual dengannya.
Melihat buah, kita berbual dengannya.

Biar orang nampak dan dengar kita bak spesis Planet Pluto, namun kita punyai sikap menghargai apapun di sekeliling kita.

Tanpa mereka, pasti hidup kita pincang.

Tiada pokok, bagaimana kita dapat menyedut udara kerana pokok tidak dapat melakukan proses fotosintesis untuk kembalikan oksigen kepada kita untuk kita sedut.

Tanpa pasu, bagaimana biji benih bertumbuh segar untuk memberi pengudaraan segar di sekeliling rumah kita.

Tanpa kipas, bagaimana ia dapat menghilangkan suhu kepanasan dalam rumah kita dengan suhu yang semakin memuncak tinggi.

Tanpa kucing, bagaimana kita dapat berkongsi ruang dan peluang untuk sama-sama hidup sementara dalam dunia ini.

Kita tidak akan pernah berasa bahagia yang benar-benar bahagia, apabila kita masih diselaputi sikap ‘keakuan.’

Semuanya mahu menunjuk ke arah kita.
Semuanya mahu melihat kepada kita.
Semuanya mahu mendengar kata kita.
Semuanya mahu memahami diri kita.

Belajar bertoleransi.
Belajar memahami.
Belajar mengundur diri.
Belajar tunduk ke bumi.
Belajar menghargai.

Sesama makhluk dan alam semesta. Sama ada benda hidup mahupun bukan hidup.

Jikalau kita selalu berusaha untuk belajar 5 perkara di atas, percayalah kita jauh lebih tenang daripada apa yang kita ilusikan.

#MO

ISLAM HANCUR KERANA ORANG ISLAM SENDIRI

Saya ini bab isu trending seantero dunia bagai, memang bermusim ketinggalan beratus gerabak kereta api.

Namun, apabila beberapa siri berita online petang ini, menerpa bertubi-tubi dek isu pijak Al-Quran ini, saya menjadi kelu. Terpanggil untuk berkongsi di ruangan posting ini.

Sungguh! Hakikatnya, Islam itu hancur bukan sebab orang Kristian, Yahudi mahupun agama samawi yang lain.

Hancurnya Islam kerana orang Islam itu sendiri.

Sebab itu, anak ini Allah telah beri peringatan bahawa mereka boleh jadi kurniaan juga ujian buat para ibu bapa.

Kurniaan bila mana menjadi mengikut acuan Islam, menghadiahi kita bacaan Al-Quran sama ada berbentuk ayat-ayat Al-Quran mahupun Surah Al-Fatihah.

Bacaan itu setiap hari dihadiahkan kepada kita sama ada kita masih hidup mahupun telah meninggal dunia.

Sekurang-kurangnya meringankan azab seksa kita semasa dalam fasa alam barzakh kelak.

Mereka akan menjadi ujian kepada kita bila mana, mereka terbentuk mengikut acuan sendiri yang menyimpang daripada syariah.

Sudah pasti para ibu bapa, inginkan anak-anak yang berbudi pekerti, menjaga nama baik keluarga dan keturunan demi agama yang mereka anuti sejak turun-temurun.

Mana mungkin, ibu bapa mahu melahir dan membesarkan anak-anak yang menconteng arang ke muka mereka sendiri.

Berganda tersiatnya jiwa raga saya apabila pelakunya adalah perempuan yang sememangnya cocok sekali dengan sifat kelembutan, tinggi dan halus peradaban Melayu mereka sebagai warga negara Malaysia.

Namun pelakunya menongkah arus keaslian seorang wanita yang berbangsa Melayu.

Bahkan, meleburkan emosi saya menjadi rentung kerana pelakunya itu bertudung, yang memberi simbolik bahawa beliau adalah penganut agama Islam sendiri.

Justeru, bagaimana beliau boleh hilang akal menjadikannya sebagai satu bahan lelucon sehingga menjadi trending dek peri laku yang diluar batas keagamaan sebagai seorang penganut Islam?

Allahuakbar!

Anak-anak kini sangat nazak.
Hilang tamadun keagamaan.
Dunia dijadikan pesta mencerca Allah.

“Ya Allah, Engkau hidupkanlah kami dalam iman dan taqwa dan matikanlah kami dalam iman dan taqwa.”

#MO

RESTORAN WAU TELIPOK

Menu dipesan oleh Izzatul, sama dengan menu Multazam.

Nasi Goreng Butter Prawns Basah.

Ini merupakan kali ke-2 kami sekeluarga mengunjungi restoran ini.

Juga Multazam kali ke-2 memesan menu ini.

Nampak gayanya, dia sangat berkenan dengan menu yang satu ini.

Bagi saya pula, semestinya Tomyam Seafood kuah merah, yang menjadi pilihan hati saya.

Dipadankan dengan Sayur Kailan Ikan Masin yang memang kena pada anak tekak saya.

Suami pula, memesan sup campur tadi, maka kerana leka menikmati tomyam dan sayur ini tadi, lupa rakam gambar sup campur suami.😂

Apapun, sekurang-kurangnya ada pilihan lokasi untuk kami sekeluarga menjamu selera pada hujung minggu.

Tidaklah statik pada 2, 3 tempat sahaja yang asyik sama.

Minggu hadapan, sedang merancang ke satu tempat makan yang baharu buat kami, yang tidak pernah dikunjungi.

#MO

KEMBALI TANPA NANTI

Untuk berubah, sebenarnya penuras tulennya adalah diri sendiri.

Pasangan, anak-anak, adik-beradik mahupun orang sekeliling hanyalah batuan kerikil yang tersadai di tepian anak sungai. Hujan menurun, basahlah ia. Tatkala panas terik, kering menggersang.

Hidayah itu perlu dicari.
Menjadi hambaNya perlu digali.
Kembali kepada fitrah manusia perlu dicipta.
Menuju alam baqa perlu dihayati.
Mati itu perlu diyakini.

Bagaimana kita mahu mematikan halunisasi duniawi ini?

Apa yang dibuati, kerana penghargaan manusia atau penghargaan Sang Pencipta?

Untuk apa dibuati, kerana mahu disayangi manusia atau disayangi Sang Penyayang?

Bagaimana dibuati, kerana serta-merta untuk jadi sebutan manusia sarwajagat atau bertangguh untuk sebutan Sang Khaliq?

Kerana apa dibuati, merai tabik spring sesama makhluk, atau merafak sembah kepadaNya?

Sedar itu tidak akan ke mana. Sedar hanyalah ilusi yang melengahkan tindakan.

Sedar disusuli tindakan kemudian konsisten dalam tempoh 41 hari untuk menjadikannya tabiat.

Baharulah, konkrit.

Bukannya bertuhankan makhluk. Bahkan, kita sentiasa dijuru panduan bertuhankan Allah, Dia Yang Maha Kuasa.

#MO

DONUT INTI KEJU

Tengah hari tadi, tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya untuk membuat kudapan donut berintikan keju sebagai kudapan anak-anak, sekembalinya mereka dari sekolah nanti.

Lalu, sekitar jam 11:40 pagi tadi, saya bergegas ke dapur untuk menyiapkannya.

Ini merupakan percubaan pertama saya membuat donut keju ini.

Memandangkan Multazam memang gemar akan keju justeru, saya begitu teruja untuk membuatkannya untuk mereka terutama Multazam.

Alhamdulillah, setelah menjamah sebiji donut, Multazam mengulanginya lagi sehingga 3 biji donut habis dia makan.

Jikalau sampai berbiji-biji itu, maknanya kenalah tu dengan anak tekaknya.

Manakala, Izzatul pula tidak suka sebarang keju maka, dia langsung tiada menjamahnya.

Dia ikut menjamah cucur bawang yang saya sediakan buat suami.

Inilah hasilnya selepas digoreng.

Ini pula inti kejunya yang kenampakan.

Sekali-sekala masuk dapur dengan sangat rajin yang luar biasa, memang sangat berbaloi apabila hasilnya disukai suami mahupun anak-anak.

#MO

CUTI BERKALA

Usai balik dari kampung saya di Semporna semasa menyambut perayaan Hari Raya Puasa baru-baru ini, biasanya saya akan merancang percutian seterusnya adalah pada harijadi suami yang jatuh pada bulan Ogos.

Namun, dek kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh suami dengan isu perpindahan jabatan beliau di tempat kerja, maka saya membawa mereka, suami dan anak-anak pergi bercuti sebelum masanya.

Anak-anak sangat teruja untuk pergi ke satu tempat yang pastinya memberikan kepuasan yang tidak terkata buat mereka.

Jikalau hotel, pastinya yang ada kolam renang kanak-kanak buat mereka menghabiskan masa dalam kolam renang.

Jikalau bukan hotel, sesuatu pengalaman yang baharu buat mereka, misalnya berkhemah, buat unggun api dan sebagainya.

Beberapa keping gambar kami sekeluarga dalam kolam renang.

Namun, saya tidak muat naik di blog ini memadailah sebagai tatapan peribadi kerana Izzatul tidak menutup aurat.

Baju renang beliau semasa berumur 5 tahun lagi justeru, sehingga kini masih dipakainya.

Inshaa Allah, mungkin hari ini baju renang baharunya akan tiba yang siap sekali tudung kepala.

Saya membelinya di atas talian, siap sekali sepasang untuk saya juga. Bolehlah nanti berendam bersama mereka.

Hari itu, Izzatul siap naik dari belakang saya semasa dalam kolam renang.

Terasa, sangat ceria, bahagia dan seronok yang amat sangat!

Selepas ini, jikalau dia beraksi dalam kolam renang bolehlah saya muat naik gambarnya di blog ini nanti.

Semasa saya membuat kejutan percutian ini, suami bertanya, adakah saya punyai wang untuk kos percutian tersebut?

Saya mahu bahagia dan bagaimana saya mahu merasai kebahagiaan itu melalui wajah ceria dan gembira suami dan anak-anak kerana merekalah dunia saya kini.

Ekspresi muka mereka, pastinya menggetar ke dalam jiwa saya.

Tidak perlu berkira untuk mencipta bahagia.

Seharusnya kita tamak untuk mencipta bahagia.

Pastinya, berbondong-bondong kebahagiaan menerpa dalam hidup kita.

Beri, beri dan beri tanpa henti. Baharulah bersedia untuk terima dari pelbagai sudut.

#MO

HIDUP SEADANYA

Agak lama tidak menjengah ke dalam mana-mana akaun media sosial.

Bukan juga sibuk bak lipas kudung terkejar-kejar ke sana ke mari menyiapkan rutin harian.

Namun, dek mood menjunam ke dasar Lautan Pasifik, menyebabkan saya menyepi dan menyendiri daripada menjebak diri ke dalam media sosial.

Sungguh! Kelapangan dengan merehatkan minda itu sangat membuatkan saya berada dalam satu dunia yang sunyi sepi.

Tidak perlu terkinja-kinja mengejar bagai.

Hanya perlu santai berada di posisi sambil menyantuni rutin yang membuatkan saya khayal dalam dunia yang saya cipta sendiri.

Dengan misi dan visi yang jelas, untuk menuju ke penghujung garisan penamat.

Sambil mempersiapi awal segala latih tubi dalam kem belajar, sambil itu juga mengimbangi dengan hal berkaitan kendiri yang jauh membuatkan saya lebih menghargai sisa hidup yang Dia Berikan nikmat helaan nafas ini.

Setelah hampir 2 jam menghabiskannya dalam 2 buah kedai buku, akhirnya saya memberikan ganjaran buat diri sendiri dengan yang satu ini.

Sejak anak-anak meningkat remaja ini, saya sangat suka meminta pendapat mereka dalam beberapa hal tertentu yang mengikut aras keupayaan mereka.

Semasa bulan Ramadan yang lalu, saya membelikan Multazam dan Izzatul Al-Quran yang sama, cuma berbeza warna kulit sahaja.

Multazam memilih warna kulit merah manakala, Izzatul memilih warna biru.

Kedua-dua mereka memilih warna mengikut kemahuan ataupun minat warna masing-masing.

Lalu, petang tadi, saya memberikan 2 pilihan warna iaitu hitam ataupun hijau.

Mereka berdua sepakat untuk memilih warna hijau yang ini, memandangkan warna tersebut merupakan warna kesukaan saya.

“Ibu kan suka warna hijau, maka kami pilih yang hijau ini.”,

Alhamdulillah, dengan ganjaran sendiri ini semoga membakar semangat saya untuk kekal mendampingi Kitab Allah ini.

Kini, kami anak-beranak mempunyai Al-Quran masing-masing, dengan corak, bentuk yang sama cuma dibezakan pada warna kulitnya.

#MO

REWARDS ANAK-BERANAK

Sebelum merebahkan diri, lebih baik rakam gambar sebagai kenangan untuk dibelek semula dalam blog ini.

Sempat posing sebelum acara bersantai merehatkan fizikal dan mental yang stuck dengan rutin harian.

Pertama kali, turut serta mandi kolam bersama anak-anak.

Hari ini, 6 Julai 2019 bersamaan Hari Sabtu, sekitar pukul 10 pagi, sementara menanti pelajar masuk kelas, saya sempat menempah satu malam di hotel kesukaan anak-anak saya.

Usai tempahan dibuat atas talian, pembayaran pun dibuat.

Lalu, dengan penuh girang, Multazam dan Izzatul mengemas pakaian dan barang keperluan yang lain yang perlu dibawa ke hotel malam ini.

Saya mencadangkan kepada suami untuk membawa lebih pakaian kerana mahu kami suami-isteri turut serta dalam acara mandi kolam kelak bersama-sama anak-anak.

Selain ianya memberi galakan kepada anak-anak, ia juga untuk mengeluarkan toksik dalam badan dek tekanan bebanan kerja hakiki.

Sedikit sebanyak mampu membuatkan minda dalam keadaan rehat dengan melakukan satu aktiviti yang sangat jarang diperbuati.

Pastinya, memberi satu kelainan dan pengalaman yang luar biasa.

Sambil berendam dalam kolam yang sederhana dalamnya pada paras dada dewasa, kami anak-beranak mengambil kesempatan berbual-bual.

Suami meminta Multazam berenang pada jarak tebing kiri ke tebing kanan kolam renang, selama mana yang Azam mampu.

Saya pula berpelukan dan berpegangan tangan dengan Izzatul, sambil menyusuri tepian kolam renang.

Kadang kala suami meluahkan rasa tekanannya dengan bebanan kerja juga hal berbangkit dengan tugasannya.

Semenjak hari Selasa lalu, suami dapat notis untuk ‘rotation job.’

Justeru, ada beberapa hal berbangkit yang membuatkannya sedikit tertekan.

Saya mampu berikan kata semangat semasa kami anak-beranak dalam kolam renang petang tadi bahawa, “apabila kita bekerja kerana manusia, kita akan bekerja kerana mahukan penghargaan manusia.”

“Mudah putus asa, tertekan kerana apa kita buat, orang lain tidak hargai.”

“Namun, apabila kita bekerja kerana Allah, kita tidak akan pernah peduli orang lain hargai atau tidak. Pada kita, sama sahaja.”

#MO