EKPERIMENTASI TART NENAS GEBU

Sejak 3 tahun yang lalu, Multazam minat akan biskut raya tart nenas ini.

Maka, saya berusaha untuk belajar membuatnya memandangkan ianya lebih berbaloi membuatnya sendiri daripada membeli.

Selain kuantiti yang banyak ia juga menepati citarasa sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang kita pilih sendiri.

Apatah lagi, keseronokan dan kepuasannya itu selepas melihat hasilnya seperti mana yang kita inginkan.

3 tahun berturut-turut, saya menggunakan buttercup sebagai mentega untuk membiskut raya.

Hatta biskut semperit susu yang saya buat pada malam raya baru-baru ni, juga menggunakan buttercup.

Untuk tart nenas ini, saya mencuba Lurpak pula.

Semasa saya mencari bahan biskut di kedai bakeri sehari sebelum raya, saya terlihat Lurpark ini. Entah bagaimana saya terus mencapainya dan bawa ke kaunter pembayaran.

Sedangkan saya tidak pernah tahu dan tidak pernah dengar Lurpak ini. Namun, dek ia sebaris dengan Cow Farms dalam peti sejuk di kedai bakeri itu, saya yakin ia sama fungsi dengan mentega.

Rupa-rupanya Lurpak adalah mentega tulin. Saya benar-benar tidak tahu sebelum ini. Allahuakhbar!

Patutlah semasa saya mula menggaul mentega dan susu pekat itu, teksturnya agak ringan berbanding buttercup yang biasa saya gunakan sebelum ini.

Untuk raya pkp ini, saya membuat bentuk lain daripada kebiasaan.

Sebelum ini saya membuat tart nenas dengan bentuk tart nenas landak yang memang menyerupai buah nenas itu sendiri.

Tapi, hari ini saya mahu cepat siap jadi saya membuat bentuk macam ini sahaja.

Alhamdulillah, siaplah jua akhirnya. Memang gebu dan cair di mulut.

#MO

JEM NENAS BUATAN SENDIRI

Alkisah berlakunya jem nenas buatan sendiri ini, bila mana beberapa hari sebelum Syawal dan hari ini (25/5/2020) pergi mencari jem nenas yang dijual, tidak berjodoh.

Kalau adapun dalam kuantiti banyak sedangkan saya hanya memerlukan kurang daripada 1 kg jem nenas memandangkan saya hanya membuat biskut tart nenas ini dengan purata 2 buku mentega sahaja.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk membuat jem nenas sendiri walaupun sebelum ini, saya tidak pernah pun membuat jem nenas sendiri.

Beberapa tahun kebelakangan ini, sejak saya menjinakkan diri dalam dunia pembiskutan raya secara amatur, saya hanya membeli jem nenas yang dijual di pasaraya.

Hari ini, buat pertama kalinya saya membuat jem nenas sendiri.

Seperti biasa, saya redah dan yakin sahaja untuk memulakan sesuatu yang saya tidak pernah lakukan.

Saya terlupa untuk merakam gambar nenas.

Apa yang saya dapat kongsikan di sini, saya memilih sebiji nenas yang sedang masak untuk dijadikan jem nenas.

Purata berat nenas itu lebih kurang 1.3 kg.

Kemudian, saya mengupas nenas itu dan membuang empulurnya.

Setelah itu, saya potong kecil-kecil seperti potongan nenas yang dibuat acar buah agar mudah dikisar nanti.

Kesemua nenas yang telah dipotong kecil itu, saya masukkan ke dalam mesin pengisar lalu mengisarnya sehingga halus.

Saya mula memanaskan kuali di atas dapur gas dan menuang kisaran nenas tadi ke dalam kuali tersebut pada api sederhana.

Setelah itu, saya memasukkan gula pasir dalam anggaran setengah cawan. Gula pasir ini, saya main agak-agak sahaja dipadankan dengan kuantiti nenas kisar di dalam kuali tadi. Selain itu, kita boleh agak-agak berdasarkan tahap kemanisan yang kita mahu.

Disusuli beberapa ketul gula batu sebagai cara untuk mengelakkan jem nenas itu lembik dan mudah berair.

Selepas itu, saya menitikkan sedikit pewarna kuning untuk mencantikkan warna jem nenas.

Kemudian, saya masukkan pula setengah sudu teh garam halus. Inipun saya main agak-agak sekadar mengimbangkan rasa manis jem nenas itu.

Setelah jem nenas itu sedikit pekat dan likat, saya memasukkan air perahan lemon. Mengikut resepi asal, perahan air limau nipis namun, saya tiada stok limau nipis yang ada ialah lemon. Jadi, saya menggantikan limau nipis itu dengan lemon.

Perahan air lemon itu dalam anggaran 1/4 daripada buah lemon itu.

Apabila jem nenas semakin likat dan kental, suhu api kenalah perlahan dan selalu kacau supaya jem nenas itu tidak hangus.

Kacau sehingga ia menjadi jem nenas yang kental.

Bahagian mengacau jem ini memang lenguh jugalah lengan saya dibuatnya.

Sekitar 50 minit begitu, akhirnya siaplah jem nenas buatan sendiri.

Melihat hasilnya yang menjadi, memang sangat berbaloi. Lebih-lebih lagi, pertama kali saya membuatnya memang membakar semangat dan menghilangkan lenguh lengan semasa mengacau jem nenas tadi.

Baiklah di bawah ini, saya sertakan bahan-bahannya.

  1. 1 biji nenas sedang masak
  2. Gula pasir (agak-agak)
  3. Gula batu (beberapa ketul)
  4. Garam secukup rasa
  5. Pewarna kuning
  6. Perahan air limau nipis-saya pakai lemon

Resepi asal ini saya telah olah sedikit dengan menambahkan gula batu.

Ini adalah hasil gabungan 2 resepi asal jem nenas yang berlainan, kemudian saya olah mengikut citarasa saya untuk menghasilkan jem nenas buatan sendiri.

Insyaa Allah, hari esok bolehlah saya memulakan langkah membiskut tart nenas, biskut kegemaran Multazam.

#MO

SALAM SYAWAL 1441H

Alhamdulillah, setelah sebulan berpuasa dalam tempoh pkp ini, akhirnya dapatlah meraikan Hari Kemenangan, 1 Syawal.

Walaupun tidak dapat balik beraya di kampung seperti mana sebelum ini, namun ia suatu pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan.

Bayangkan selama ini, menyambut Syawal di rumah emak mertua ataupun di kampung halaman, kali ini sangat berbeza sekali.

Menyambut 1 Syawal di rumah sendiri dengan menyediakan juadah hari raya sendiri sungguh mengujakan buat saya.

Kalau sebelum ini, hanya menjadi tukang kupas bawang dan segala apa yang patut untuk membantu emak mertua mahupun keluarga di kampung untuk meraikan 1 Syawal.

Kini, pagi tadi saya sendiri menyinsing lengan masuk ke dapur sendiri dan menyediakan juadah raya.

Saya mencadangkan kepada suami untuk menu pagi ini ialah daging masak hitam, daging masak rendang, acar buah dan air koktel.

Manakala suami mengambil alih bahagian memasak nasi beriani ayam.

Saya memang suka makan daging dimasak rendang dan dimasak hitam. Sebab itu, saya mencadangkan menu tersebut kerana selama ini hanya makan hasil masakan orang lain.

Kini, saya cuba untuk memasaknya sendiri dengan cara sendiri.

Alhamdulillah, walaupun pertama kali memasak menu ni, namun ianya menjadi dan sangat menepati anak tekak kami sekeluarga.

Saya mengurangkan kuantiti cili kering itu, supaya anak-anak dapat menjamahnya sekali kerana anak-anak saya tidak biasa makan lauk-pauk yang pedas.

Setelah 2 hari, saya beruasaha untuk mencari daun kunyit di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Mini Tuaran, akhirnya saya tidak berjodoh juga dengan si daun kunyit.

Maka, akhirnya saya tetap memasak rendang daging ini kerana semua bahannya telah sedia ada.

Kemudian, saya memasak menu kedua, daging masak hitam.

Alhamdulillah, menu inipun mengena selera kami terutama saya dan suami. Memandangkan anak-anak kurang biasa memakan daging kerana saya sendiri jarang membeli daging untuk dijadikan menu harian keluarga.

Selain untuk tujuan kesihatan, saya juga selau menuruti menu kesukaan anak-anak yang lebih suka makan ayam berbanding daging.

2 lauk-pauk ini saya padankan dengan acar buah.

Acar buah ini memang saya selalu buat kerana saya sangat suka makan ayam masak merah dan pastinya dipadankan dengan acar buah ini.

Namun, acar buah kali ini pada saya kurang menyengat kerana nenas itu sendiri agak mentah sedikit.

Sedangkan saya suka nenas yang telah masak yang agak lembik sedikit untuk dijadikan acar buah.

Kelmarin semasa saya melilau mencari nenas, memang rata-rata nenasnya kurang masak dan kerana saya tiada pilihan, terpaksalah saya membelinya sahaja.

Nasi beriani ayam ini, hasil air tangan suami kerana beliau sendiri menawarkan diri untuk mengambil bahagian untuk memasak nasi.

Dan beliau sendiri yang memilih nasi beriani memandangkan Izzatul sangat suka makan nasi beriani ayam.

Di tambah dengan sebatang lemang hasil berian team jawatankuasa perumahan kami ini.

Untuk keluarga kecil kami ini, lebih daripada mencukupi dengan menu juadah kami yang serba ringkas ini.

Kemudian, saya padankan pula dengan air koktel.

Saya main campak sahaja.

Setin buah-buahan campur.

Setin buah laici.

Setin jagung.

Setin cincau.

Setin kacang merah.

Kemudian, saya masukkan sirap ros dan setin susu cair.

Jadilah air koktel.😁

Momen memasuki dapur sendiri dan memasak untuk juadah raya memang sesuatu yang menyeronokkan.

#MO

WIRA ILMUAN

Tatkala suara sumbang menggetar rasa. kau tetap terpacak melebar rentak salsa.

Berdendang memerah kudrat dan keringat.

Luntur tercarik berciciran tidak akan pernah mematah semangat.

Demi membangun anak bangsa.

Keringatmu lencun meluruh.

Memasak ilmu para anak hingusan.

Yang teraba dalam kelam.

Meniti titian yang sangat rapuh.

Kau menuntun mereka meski bergegak gempita prahara menerobos.

Kau tetap menghunus keampuhanmu membujur lalu melintang patah.

Peduli tidak pada siapa berbulu-bulu.

Kau tetap melunasinya tanpa melulu.

Kerana tugasmu itu bukannya lelucon.

Memandaikan anak watan zaman-berzaman.

Kekallah memacak diri walau badai melanda emosi. Kamu tetap insan mulia tidak pada manusia pada Dia Sang Pencipta, kamu adalah murobbi yang sangat terpuji.

Selamat Hari Guru buat semua tenaga pendidik dan pemudah cara di seluruh Malaysia.

16 Mei 2020

#MO

SEJADAH GEBU

Jikalau kebiasaannya menyambut ramadan dengan membeli pakaian baharu, ramadan pkp ini saya menyambutnya dengan membelikan kami sekeluarga sejadah gebu setiap seorang.

Tahun ini, pekik sedikit dengan tiada baju baharu pakai yang baju lama sahaja. Baharu adalah sejadah gebu dan 2 pasang telekung.

Saat saya menulis posting ini, 2 pasang telekung itu sedang meretasi Laut China Selatan.

Sebelum saya membeli secara online, saya memberikan pilihan kepada anak-anak untuk memilih sejadah mengikut warna kesukaan mereka.

Biar mereka teruja dan bersemangat untuk bersolat dengan sejadah yang baharu lagi gebu ini.

Sebaik sahaja bungkusan dibuka, saya terus menghamparkannya.

Sejadah gebu berwarna ungu adalah sejadah kepunyaan Izzatul.

Dia minat warna ungu dan rezekinya stok warna ungu ada.

Selesai sahaja kami berterawih malam tadi, saya terdengar dia berkata, “sayangnya mahu tinggalkan sejadah ni, pasal lembut bah.”

Alhamdulillah, saya seronok dan bahagia melihat dia begitu seronok dengan sejadah gebunya itu.

Ini pula sejadah gebu Multazam yang berwarna merah gelap.

Dia minat warna merah jadi dia memilih warna merah.

Setiap kali selesai 2 rokaat tarawih, saya perasan dia pasti membelai lembut sejadah baharunya itu.

Apabila saya bertanya, dia suka tak? Dia menjawab dia suka sebab lembut.

Ini adalah sejadah baharu saya pula berwarna coklat pudar. Bukanlah warna kesukaan saya, kebetulan stok ini sahaja yang tinggal dan warna biru.

Saya memilih warna coklat ini berbanding biru kerana ia sama corak dengan sejadah Izzatul.

Kononnya, kami sama-sama perempuan, coraknya sama.

Yang biru ini, untuk suami.

Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya membeli sejadah gebu untuk kegunaan kami sekeluarga.

Selama ini memakai sejadah biasa sahaja.

Lalu saya terfikir untuk memanjakan diri sekeluarga untuk membeli sejadah gebu ini demi keselesaan kami sekeluarga semasa beribadat nanti.

Lagi pula, nak merasa memakai sejadah mewah begini, feeling orang kaya.

Hikmah pkp ni, dapat merasai nikmat bersejadah gebu. Terawih lebih seronok dan bersemangat dengan adanya sejadah baharu ini.

Saya sebak dalam memanjatkan doa kesyukuran di atas NikmatNya memberikan kami sejadah gebu ini.

Terima kasih Ya Allah.

#MO

BERDUA KELUAR DALAM FASA PKP

Pagi tadi, sekitar jam 9:30 pagi, saya keluar membeli sedikit barangan keperluan dapur yang stok tinggal sedikit dan sebahagiannya lagi telah habis.

Memandangkan kelonggaran telah diberikan untuk 2 orang dalam satu kenderaan maka, saya membawa Multazam bersama memandangkan dia telah capai taraf dewasa 29 Mac yang lalu.

Kami pergi ke kedai serbaneka yang berdekatan sahaja. Mula-mula tu kami singgah di kedai yang sederet dengan kedai 99 speedmart selepas bulatan Berungis.

Dapatlah 2 buku roti. Sebuku roti, suami mahu buat sedekah malam ini sebagai roti telur untuk kudapan geng perumahan kami ini.

Saya bersetuju dalam diam. Sebab baik saya mahupun suami, kami punyai kebersamaan iaitu suka menjamu makan orang lain walaupun air tangan kami ini sekadar amatur sahaja.

Sejak 1 ramadan, suami bercerita kawan ini kawan itu yang masing-masing membawa kudapan sambil sembang pacak bersama.

Malam ini, suami mahu bawa kudapannya pula.

Sebuku lagi, saya mahu buatkan Izzatul roti sandwic. Walaupun sebuku itu banyak untuk dibuat roti sandwic, namun lebihannya nanti bolehlah diberikan kepada jiran tetangga yang sentiasa memberikan pelbagai jenis juadah semenjak ramadan ini.

Saya pun jadi seronok fasa pkp ni. Dapat bertukar juadah selain memperbaiki kebolehan dalam bab memasak.

Kena lagi jiran sebelah rumah saya ni, memang professional bab masak.

Setiap hari beliau memberikan kami macam-macam juadah yang setiap hari berlainan.

Beliau anak sulung yang memang terbiasa bergelumang dengan dapur kerana saya sendiri melihat kakak sulung saya yang kerjanya banyak di dapur membantu arwah ibu mengurus makan minum kami adik-adiknya.

Kemudian, beliau ini memangnya suka memasak. Bila memasak, dengan sepenuh jiwa. Kiranya masak dari hati.

Ada juga orang yang memang anak sulung tapi, tidak minat bab memasak.

Macam saya sendiri, jujurnya saya kurang minat bab memasak kerana sedari kecil sehinggalah meningkat dewasa, banyaknya masa saya habiskan dengan alam persekolahan.

Kemudian, saya sendiri kurang minat memasak. Kalau cuti sekolah atau universiti, saya lebih suka melakukan kerja dalam rumah yang lain selain memasak.

Menyapu lantai, mengemas, membasuh kain dan sebagainya janji bukan memasak.

Apabila berkahwin, baharulah saya berjinak-jinak dengan dunia masakan. Kenal halia, lengkuas dan sebagainya.

Walau bagaimana pun, sejak berkahwin dan memiliki 2 orang anak ini, saya belajar memasak dari hati walaupun banyaknya saya memasak sebab lapar.😅

Baiklah. Kembali kepada cerita asal tadi pergi ke kedai serbaneka berdekatan.

Setelah itu, kami meneruskan pergerakan kami menuju ke One Superstore laluan arah menuju ke pekan Tuaran.

Di sini kami membeli agak banyak barangan keperluan.

Nasib baik ada Multazam, membantu saya mengangkat barangan ke tempat parkir kereta. Kalau saya seorang jenuh dengan keadaan berpuasa lagi.

Kemudian, kami patah balik dan singgah sekejap di Mengkabong Centre untuk membeli beras memandangkan di One Superstore tadi, habis stok. Stok yang ada adalah beras wangi sahaja.

Nasib baik dapat stok beras Cap Anggur 10kg di Mengkabong Centre.

Baharulah kami bergerak pulang ke rumah.

Sebenarnya, sejak bergerak keluar dari kawasan parkir kereta di kawasan perumahan tadi, saya agak kekok memandu kereta. Sedikit gementar. Mungkin sebab agak lama tidak memandu kereta.

Lama-lama perasaan gementar itupun menghilang apabila memandu menuju ke pasaraya One Superstore tadi.

Multazam menjadi canggung seketika sebab 2 bulan tidak menaiki kereta. Sepanjang perjalanan, dia sibuk merakam suasana persekitaran termasuklah keadaan jalan raya yang sedikit lengang.

Inilah beberapa barangan keperluan yang kami beli tadi.

#MO