KEMATIAN YANG TIDAK DIDUGA

Cerita semalam.

Jiran sebelah blok, kak C telefon dan ajak sekali ke majlis kenduri tahlil arwah jiran yang sama blok dengan kak C ini.

Saya kenal begitu-begitu saja dengan arwah ini. Rapat mesra tu tidaklah sebab saya jenis bukan peramah mesra alam semesta.

Kadang, ada yang kata saya ini jenis sombong sebab tidak mudah mesra walaupun hakikatnya saya sentiasa berusaha untuk memaniskan air muka apabila berada dalam situasi bersosialisasi.

Kalau yang baharu kenal tu,

Perlu mencelah, mencelah.
Perlu menjawab soalan, jawab.
Perlu mengangguk, mengangguk.
Selebihnya itu, senyum simetri.

Kalau yang sudah biasa tu, rancak jugalah berbual dalam erti kata komunikasi 2 hala.

Hakikatnya, saya bukan jenis peramah mesra alam cakerawala, yang baharu kenal sembangnya kelihatan seperti kawan lama. Mungkin juga sebab saya jenis jarang duduk bersembang dengan jiran tetangga.

Kerana bagi saya, jangan sampai ramahnya itu melebih sehingga bercerita hal orang lain, perihal suami apalagi sembang kosong yang tiada input bermanfaat bahkan menjadikan ia satu medan untuk bersaing itu ini dalam bab rumah tangga.

Berbalik kepada majlis semalam.

“Ustazah, bolehkah saya belajar mengaji sama ustazah?” Itulah pertanyaan ibu arwah Z kepada saya sebaik sahaja saya memohon diri untuk balik.

Saya tidak berdaya untuk mengatakan tidak kerana saat ini dia berada dalam fasa menanggung beratnya bebanan emosi dek kehilangan anak perempuannya yang pergi secara mengejut.

Tinggal saja saya menjawab, Insyaa Allah.

Lalu, untuk sekian kalinya saya terpaksa melupakan seketika hasrat untuk menggantung boots dari dunia mencelikkan Al-Quran kepada mereka yang Dia telah Pilih.

#MO

#KalkatuBiru