REHLAH DIRI

Sebenarnya agak lama juga saya tinggalkan blog ini. Entah mengapa, bermula Mac 2022, saya beransur-ansur menghilangkan diri dari dunia medan sosial maya.

Jika dahulu, pelantar Facebook itu umpama catatan diari kehidupan saya. Saban hari, saya aktif memuat naik posting dengan pelbagai coretan baik berbentuk pengajaran mahupun corat-coret kehidupan diri. Semuanya dipenakan sebagai tatapan bersama.

Bukan juga untuk bermegah apabila menulis kehidupan diri tetapi lebih kepada berkongsi rasa dan manfaat agar ianya boleh dijadikan teladan bersama. Boleh jadi ada yang memerlukannya saat itu. Siapa tahu kan.

Mendabik dada itu jauh sekali kerana saya selalu pegang erat falsafah hidup yang satu ini. Sehebat atau sebaik apapun kamu, pasti ada orang lain yang jauh lebih hebat dan lebih baik daripada apa yang kamu capai atau lakukan itu.

Maka, percuma saja jikalau kita berasa sangat hebat atau baik sekali saat kita berkongsi kehidupan diri daripada sisi yang baik itu kerana dunia ini hukum alamnya sememangnya begitu. Ada sahaja yang jauh lebih hebat dan baik sekali daripada apa yang sedang kita lakukan kini.

Dunia Facebook itu semakin menjauh dan saya sendiri tidak menyedarinya sejak bila saya meninggalkannya. Begitu juga halnya dengan media sosial yang lain seperti blog ini, tik tok dan instagram apatah lagi twitter yang sekadar pembaca senyap.😂

Hari ini, 2 Mac 2023, tiba-tiba Allah Gerakkan hati saya untuk menjenguk dan berusaha untuk berkongsi rasa kembali di sini.

Mudah-mudahan Allah Permudahkan segalanya buat saya terutama dalam urusan kehidupan harian saya. Dia Maha Pengatur.

Saat ini pun saya masih lagi on off dalam media sosial Facebook saya meskipun ramai yang tercari-cari kelibat saya dalam dunia Facebook itu.

Menulis ini suatu perkara yang tidak boleh dipaksa. Sekiranya terpaksa, hilanglah rasa. Ia perlukan ruang jiwa yang tenang baharulah rasa itu terasa.

Ibrahnya saya hilang dari radar media sosial adalah ketenangan. Terasa begitu sangat lapang tanpa perlu mengejar masa mengejar hal yang kadang membuatkan saya leka pada perkara-perkara yang perlu sebagai hamba-Nya.

Apapun, usah lelah dalam beribadah kerana hamba-Nya yang baik itu adalah mereka yang mempunyai hubungan baik sesama makhluk-Nya apalagi sesama Pencipta.

Tersungkur, bangun. Tersungkur, bangun lagi. Tersungkur, bangun terus tanpa henti.

#kalkatubiru

#MO

2 Mac 2023.