BERDOA ITU SANGAT MUDAH

Renyah.

Asal berdoa mesti dalam keadaan berwuduk.

Asal berdoa mesti duduk berteleku di atas tikar sejadah menghadap kiblat.

Asal berdoa mesti selepas solat.

Padahal yang sebenarnya doa itu boleh saja dipohon saat kita dalam keadaan tidak berwuduk.

Saat menerima berita gembira lalu kita ucap Alhamdulillah walhal boleh jadi saat itu kita tidak dalam keadaan berwuduk.

Kerana setiap zikir itu adalah doa.

Padahal doa itu boleh saja diminta saat kita berdiri, berjalan mahupun berbaring.

Sedang berjalan kaki menapak ke pasar basah, melihat setiap orang berpusu-pusu melunasi urusan kehidupan masing-masing, doakan agar semuanya Dia Permudahkan.

Pasar Besar Kota Kinabalu

‘Ya Allah, aku mohon kepada-Mu, agar Engkau Permudahkanlah segala urusan kehidupan kami yang berpagi-pagian mengurus kehidupan seharian masing-masing.’

Kemudian, situasi lain.

Terlihat jualan gerai sarapan pagi yang berada di tepian jalan lorong masuk ke kawasan perumahan.

Doakan jualannya habis terjual. Laris manis begitu.

Atau sesiapa sahaja yang menjadi santapan mata kita, doakan mereka yang baik-baik.

Saat kita sedang berdiri beratur membeli sebekas minuman ‘chocolate blended’ terlihat pekerja kedai minuman itu sedang berusaha menyediakan minuman tersebut dan dalam diam kita doakan agar dia dilimpahi rezeki yang luas seluas lautan kerana menyediakan minuman itu buat kita.

Saat kita di tempat pembaringan sebelum tidur boleh saja kita memohon doa buat kedua orang tua kita dan sesiapa saja yang kita mahu doakan kebaikan buat mereka.

Semasa memandu kereta, tiba-tiba siren ambulans kedengaran. Doakan kesihatan buat si pesakit itu yang sedang dikejarkan ke hospital.

Melihat kereta rosak dan tersadai di tepi jalan sedang tuan punya kereta sedang berusaha menghubungi sesiapa yang berkenaan untuk bantuan maka, doakan semoga Allah Permudahkan segala urusannya.

Pun begitu, saat kita disakiti, dikhianati doakan yang terbaik buat semua pihak. Mudah-mudahan longgokan hadiah terbalut indah sedang menanti di kemudian waktu.

Mudah bukan, untuk kita jadikan berdoa itu satu habit dalam kehidupan kita.

Justeru, saat kita galau terus berdoa. Saat kita gembira terus berdoa. Tiada sehari tanpa doa.

Sering berkata pada diri sendiri dengan nada sebegini ‘penuhi hidupmu dengan limpahan jujukan doa sehingga kamu tidak tahu mana satu doa yang telah atau belum makbul.’

#kalkatubiru

#MO

Leave a comment