REBUSAN AIR SERAI

Seminggu sekali paling koman, saya mesti minum rebusan air serai ini.

Maklumlah kadang, tidak disiplin sebab kes lupa.

Peliknya, kalau minum nescafe panas seawal pagi untuk peneman sarapan tidak pula lupa. Allah!

Rebusan air serai ini sangat bagus diamalkan setiap hari sebanyak 2 kali.

Segelas sebelah pagi dan segelas lagi tengah hari, petang atau malam.

Seeloknya minum selepas mengalas perut atau selepas makan.

Apa yang saya perolehi selepaseminum segelas air rebusan serai ini, badan saya menjadi kurang lenguh, ringan dan bersemangat untuk melakukan rutin seharian.

Pendek kata, badan menjadi cergas.

Selain itu, ia juga untuk kesihatan dalaman untuk urat saraf dan aliran darah dalam badan.

Bahan alami seperti ini memang sanhat bagus untuk organ dalaman, yang penting ambil pada kuantiti yang sepatutnya.

#MO

RUTINKAN SOLAT SUBUH BUAT ANAK-ANAK

Cuti sekolah begini, adalah masa yang sangat mencabar untuk kita, ibu bapa.

Persepsi ramai ibu bapa dan anak-anak sendiri adalah cuti sekolah tiket untuk berehat.

Berehat daripada menelaah buku akademik.
Berehat daripada bangun awal pagi.
Berehat daripada membasuh kasut sekolah.
Berehat daripada segala rutin harian dalam sesi persekolahan.

Namun, bukan semuanya kita rehatkan.

Rehat daripada bangun awal pagi itu, tidak boleh direhatkan.

Berkah hidup di situ.
Solat subuhnya di situ.
Pemula harian di situ.

Peranan utama kita, emak, ibu kepada anak-anak.

Ada suami jenis kisah bab kemenjadian anak-anak ini baik dari segi agama mahupun akademik.

Ada juga suami yang sebaliknya. Dia tahu mencari rezeki sahaja.

Bab kemenjadian anak-anak baik dari segi agama mahupun akademik, semuanya diserah bulat kepada kita.

Justeru, kita isteri juga ibu kepada anak-anak kita, kena waspada hal ini.

Bab agama, tiada kompromi.
Bab akademik, boleh tolak ansur.

Cara saya, jam 4:40 pagi saya memang kejutkan anak-anak saya untuk Solat Subuh.

Tuaran Sabah ini, waktu masuk waktu Solat Subuh pukul 4:52 pagi.

Tidak kira, waktu hari bersekolah, hari hujung minggu mahupun cuti sekolah seperti sekarang ini, saya memang kejutkan mereka untuk Solat Subuh.

Jikalau mereka tertidur lewat semalam sebab ada saudara mara bertandang ke rumah dan bermalam di rumah kami, saya tetap kejutkan awal pagi itu seperti biasa.

Usai Solat Subuh, saya akan beri kelonggaran buat mereka untuk tidur semula.

Namun, mereka akan terus bangun usai Solat Subuh.

Mungkin juga, sudah terbiasa lepas solat tidak akan sambung tidur lagi.

Atur pola tidur anak agar mereka mudah untuk bangun pagi Solat Subuh.

Apa jua peri laku anak, kita yang dipertanggungjawabkan olehNya.

#MO

TIP KUASAI MATEMATIK

Saya terlihat ada satu komentar berkaitan posting saya Kertas 2 Matematik, baru-baru ini.

Beliau meminta saya untuk berkongsi tip ‘bagaimana untuk menguasai Matematik.’

💟Minat💟

Saya ini, sekolah rendah dan sekolah menengah, capaian markah Matematik saya bergantung pada guru Matematik ketika itu.

Kalau saya sebulu dengan cikgu itu, memang meroket ke Planet Marikh.

Jikalau saya berbulu-bulu pula dengan cikgu itu, memang menjunam menyentuh kerak bumi.

Oleh itu, sekadar lulus biasa sahaja Matematik saya pada peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP)1992 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)1994.

Memasuki peringkat universiti, pemikiran saya telah melurus ke masa hadapan, maka melihat bermain dengan angka-angka ini sangat seronok.

Maka, bermulalah minat saya terhadap Matematik tanpa prejudis lagi kepada guru atau pensyarah yang mengajar subjek berkaitan Matematik seperti Business Mathematics, Cost Accounting, Statistics dan beberapa subjek teras dalam bachelor major course in Finance.

Akhirnya, yang sukar menjadi mudah bila mana minat mengatasi minda yang selalu berfikir ‘susah.’

Anak-anak saya, saya pasakkan minda mereka dengan bermindakan Matematik.

Tanam dan bajakan minat Matematik dalam jiwa mereka.

💟Asas padu💟

Tiang Matematik kena kukuh baharulah boleh bermain tingting dengan pejam mata.

Asas Matematik adalah 4 operasi asas ini:

Tambah
Tolak
Darab
Bahagi

Lain pelajar, lain tahap kelajuan internet mindanya.

Justeru, di sini saya banyak pelbagaikan teknik untuk anak-anak juga pelajar-pelajar saya kuasai asas ini dahulu.

Multazam dan Izzatul, tidak semua sama kaedahnya yang saya dedahkan kepada mereka berdua.

Apatah lagi pelajar saya.

Di sinilah, saya banyak bereksperimen dan mengambil tempoh yang lama sehingga mereka mampu kuasai.

Selagi mereka tidak melepasi par ini, saya tidak akan tunjuk ajar topik-topik seterusnya yang lagi agak kompleks.

💟Latih tubi💟

Bagi menanam minat bermain angka, saya wajib kan anak-anak buat latihan Matematik.

Setiap hari (Isnin-Jumaat) buat Matematik.

Kecuali Sabtu (hari outing).
Kecuali Ahad (hari bermain fizikal dan alam maya).

Kemudian, setiap kali membuat latih tubi itu, paling koman satu muka surat sama ada soalan objektif atau soalan subjektif.

Janji satu muka surat.

💟kuasai topik lemah💟

Latih tubi itu, pastinya topik atau sub topik yang lemah dikuasai.

Misalnya, kalau yang sekolah rendah Pecahan, Peratus, Perpuluhan dan Penukaran unit (4P).

Kerana 60% daripada soalan Matematik UPSR datangnya daripada topik 4P ini.

💟Bermain teknik💟

Ini tahap pro.

Kiranya, bermain dengan 4 asas teknik skor A :

Kertas 1

Congak
Logik
Buang
Bulat

Kertas 2

Rumus
Subjek
Ayat Matematik
Unit

💟Kehidupan berMatematik💟

Jikalau makan di restoran atau di mana jua tempat, saya biasakan anak yang membayar di kaunter pembayaran.

Saya hanya berikan bil berserta wang bayaran dan anak yang membayar di kaunter.

Jikalau anak belum lulus lagi bab congak, boleh bagi bil yang cun-cun.

Maksudnya, bayaran itu ngam-ngam dengan jumlah bil. Tidak berbaki.

Tujuannya pada peringkat ini, adalah bagi anak menyentuh duit itu. Bagi anak rasa bagaimana memegang duit, rasa membayar di kaunter.

Kalau yang dia boleh congak, bagi duit yang ada lebihannya. Maksudnya berbaki.

Dia sendiri akan mencongak semasa di kaunter bayaran, berapakah lebihannya yang perlu dia dapat semula.

Bukan sahaja makan.

Tip ini boleh juga kita berikan tanggungjawab ini semasa membeli baju, buku ataupun barangan lain dalam kuantiti sedikit.

Misalnya, dalam pasaraya.

“Tolong pilihkan untuk ibu, ubi kentang yang elok. Ibu mahu 7 biji ya.”

“Tolong ambilkan untuk ibu, 5 kg minyak masak jenama Saji.”

Semasa di rumah pula, minta bantuan anak.

“Dik, tolong ambilkan ibu ‘setengah cawan’ air putih.”

“Kita kena bancuh tepung ini dengan ‘tiga perempat’ cawan air pada suhu bilik.’

“Kalau kita ‘buang’ buah ni, bertambah ka atau berkurang buahnya? (Demontrasi).

“Pukul 2:30 petang nanti, kita masak kuih pau.”

Dalam kereta pula, sama ada balik kampung ataupun outing, tanya anak dengan mencongak sifir.

Apa sahaja, yang berkaitan angka, ajak anak sekali untuk turut serta agar mereka menyedari bahawa Matematik itu sentiasa melegari kehidupan seharian kita.

Kesimpulannya, apa jua kelas yang saya mudah carakan, interaksi dua hala itulah paling ampuh untuk mengimbas aras pemahaman mereka.

#MO

TIP KUASAI MATEMATIK

Saya terlihat ada satu komentar berkaitan posting saya Kertas 2 Matematik, baru-baru ini.

Beliau meminta saya untuk berkongsi tip ‘bagaimana untuk menguasai Matematik.’

💟Minat💟

Saya ini, sekolah rendah dan sekolah menengah, capaian markah Matematik saya bergantung pada guru Matematik ketika itu.

Kalau saya sebulu dengan cikgu itu, memang meroket ke Planet Marikh.

Jikalau saya berbulu-bulu pula dengan cikgu itu, memang menjunam menyentuh kerak bumi.

Oleh itu, sekadar lulus biasa sahaja Matematik saya pada peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP)1992 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)1994.

Memasuki peringkat universiti, pemikiran saya telah melurus ke masa hadapan, maka melihat bermain dengan angka-angka ini sangat seronok.

Maka, bermulalah minat saya terhadap Matematik tanpa prejudis lagi kepada guru atau pensyarah yang mengajar subjek berkaitan Matematik seperti Business Mathematics, Cost Accounting, Statistics dan beberapa subjek teras dalam bachelor major course in Finance.

Akhirnya, yang sukar menjadi mudah bila mana minat mengatasi minda yang selalu berfikir ‘susah.’

Anak-anak saya, saya pasakkan minda mereka dengan bermindakan Matematik.

Tanam dan bajakan minat Matematik dalam jiwa mereka.

💟Asas padu💟

Tiang Matematik kena kukuh baharulah boleh bermain tingting dengan pejam mata.

Asas Matematik adalah 4 operasi asas ini:

Tambah
Tolak
Darab
Bahagi

Lain pelajar, lain tahap kelajuan internet mindanya.

Justeru, di sini saya banyak pelbagaikan teknik untuk anak-anak juga pelajar-pelajar saya kuasai asas ini dahulu.

Multazam dan Izzatul, tidak semua sama kaedahnya yang saya dedahkan kepada mereka berdua.

Apatah lagi pelajar saya.

Di sinilah, saya banyak bereksperimen dan mengambil tempoh yang lama sehingga mereka mampu kuasai.

Selagi mereka tidak melepasi par ini, saya tidak akan tunjuk ajar topik-topik seterusnya yang lagi agak kompleks.

💟Latih tubi💟

Bagi menanam minat bermain angka, saya wajib kan anak-anak buat latihan Matematik.

Setiap hari (Isnin-Jumaat) buat Matematik.

Kecuali Sabtu (hari outing).
Kecuali Ahad (hari bermain fizikal dan alam maya).

Kemudian, setiap kali membuat latih tubi itu, paling koman satu muka surat sama ada soalan objektif atau soalan subjektif.

Janji satu muka surat.

💟kuasai topik lemah💟

Latih tubi itu, pastinya topik atau sub topik yang lemah dikuasai.

Misalnya, kalau yang sekolah rendah Pecahan, Peratus, Perpuluhan dan Penukaran unit (4P).

Kerana 60% daripada soalan Matematik UPSR datangnya daripada topik 4P ini.

💟Bermain teknik💟

Ini tahap pro.

Kiranya, bermain dengan 4 asas teknik skor A :

Kertas 1

Congak
Logik
Buang
Bulat

Kertas 2

Rumus
Subjek
Ayat Matematik
Unit

💟Kehidupan berMatematik💟

Jikalau makan di restoran atau di mana jua tempat, saya biasakan anak yang membayar di kaunter pembayaran.

Saya hanya berikan bil berserta wang bayaran dan anak yang membayar di kaunter.

Jikalau anak belum lulus lagi bab congak, boleh bagi bil yang cun-cun.

Maksudnya, bayaran itu ngam-ngam dengan jumlah bil. Tidak berbaki.

Tujuannya pada peringkat ini, adalah bagi anak menyentuh duit itu. Bagi anak rasa bagaimana memegang duit, rasa membayar di kaunter.

Kalau yang dia boleh congak, bagi duit yang ada lebihannya. Maksudnya berbaki.

Dia sendiri akan mencongak semasa di kaunter bayaran, berapakah lebihannya yang perlu dia dapat semula.

Bukan sahaja makan.

Tip ini boleh juga kita berikan tanggungjawab ini semasa membeli baju, buku ataupun barangan lain dalam kuantiti sedikit.

Misalnya, dalam pasaraya.

“Tolong pilihkan untuk ibu, ubi kentang yang elok. Ibu mahu 7 biji ya.”

“Tolong ambilkan untuk ibu, 5 kg minyak masak jenama Saji.”

Semasa di rumah pula, minta bantuan anak.

“Dik, tolong ambilkan ibu ‘setengah cawan’ air putih.”

“Kita kena bancuh tepung ini dengan ‘tiga perempat’ cawan air pada suhu bilik.’

“Kalau kita ‘buang’ buah ni, bertambah ka atau berkurang buahnya? (Demontrasi).

“Pukul 2:30 petang nanti, kita masak kuih pau.”

Dalam kereta pula, sama ada balik kampung ataupun outing, tanya anak dengan mencongak sifir.

Apa sahaja, yang berkaitan angka, ajak anak sekali untuk turut serta agar mereka menyedari bahawa Matematik itu sentiasa melegari kehidupan seharian kita.

Kesimpulannya, apa jua kelas yang saya mudah carakan, interaksi dua hala itulah paling ampuh untuk mengimbas aras pemahaman mereka.

#MO

KISAH BILAL BIN RABAH

Siri 2

Apabila terlihat Bilal, maka cucu-cucu Rasulullah ini, berlari anak menuju ke arah Bilal.

“Ya Bilal, bolehkah kamu melaungkan azan?”

Bilal terkedu.

Apabila mendengar akan permintaan Saiyidina Hasan dan Saiyidina Husin ini, sangat berat hatinya untuk menolaknya.

Kerana melihat mereka berdua itu, terbayang sosok tubuh Rasullulah pada mereka.

Lalu, Bilal pun bersetuju.

Suatu hari, Bilal melaungkan azan.

Berduyun-duyun orang mengunjungi masjid tersebut kerana pada hemat mereka, Rasulullah itu hidup kembali kerana sejak kewafatan Baginda, Bilal tidak pernah lagi melaungkan azan.

Sebaik sahaja melihat Bilal sedang melaungkan azan ramailah yang bercucuran air mata mereka dek kesedihan juga kerinduan yang sangat berat terhadap Rasulullah.

Sehingga ada yang meriwayatkan bahawa ada yang sampai jatuh pengsan.

Allahuakbar!

Mereka yang hebat ini, hidup pada zaman Rasulullah.

Bagaimana dengan kita yang tidak pernah kenal batang tubuh Nabi Muhammad (Allahumma Solli Alla Saiyidina Muhammad Wa Ala Saiyidina Muhammad)? Walhal, Baginda begitu sangat mengambil berat akan kita, umat Baginda.

Kita pula? Pernah ambil berat akan Baginda?

Sekurang-kurangnya, selawat itu ditinggalkan jangan.

Jadikan ianya rutin seharian. Basahi lidah, hati dan jiwa kita dengan selawat.

Itu juga salah satu penanda aras bahawa kita cinta akan Baginda. Kasih akan Baginda. Rindu akan Baginda.

Boleh sahaja buat sasaran jumlah selawat.

Bermula pada jumlah yang kecil.

100 kali sehari.

Kemudian, naikkan.

500 kali sehari.

Tahap ampuh.

1000 kali sehari.

Sungguh. 1000 kali sehari itu hanya perlukan 45-50 minit.

Ini pada kadar selawat berskala sederhana.

Inshaa Allah, banyak fadhilatnya yang kita tidak sedari daripada selawat harian ini.

Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Wa Ala Saiyidina Muhammad.💟

#MO

SALAM MAULIDUR RASUL 1441 HIJRAH

Posting terakhir Jumaat minggu yang lalu, berkisar tentang Cinta akan Rasullulah.

Sebelum itu, meruntun jiwa raga saya mendengar pengkisahan Bilal bin Rabah selepas kewafatan Nabi Muhammad (Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Wa Ala Ali Saiyidina Muhammad).

Pada saat baginda sakit tenat, seorang lelaki mengetuk pintu rumah mahu bertemu dengan Rasulullah dan ketika itu, Fatimah, Puteri Rasulullah memberitahu lelaki itu bahawa, Rasulullah sedang sakit dan bolehlah datang di kemudian waktu.

Apabila ditanya oleh Rasulullah siapakah lelaki itu, Fatimah menjawab tidak tahu kerana tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini.

Lalu, Rasulullah memberitahu bahawa lelaki itu adalah Malaikat Jibrail.

Saiyidina Ali Abi Talib, yang merupakan sepupu juga menantu kepada Rasulullah, mendekati Baginda, lalu Baginda berbisik “ummati”…”ummati”…”ummati.”

Selepas kewafatan Baginda, Bilal sangat terasa kehilangan Rasulullah.

Apabila Saiyidina Abu Bakar meminta beliau untuk melaungkan azan seperti sedia kala, di tempat dan posisi yang sama, sebagaimana Bilal dan Baginda lakukan setiap kali solat, Bilal menolak permintaan Saiyidina Abu Bakar kerana hatinya belum cukup kuat untuk berbuat demikian.

Terbayang-bayang kelibat Baginda, semasa Bilal berjalan menuju ke tempat di mana Bilal selalu melaungkan azan semasa hayat Rasulullah.

Kemudian, usai melaungkan azan, mereka akan saling bertatapan mata, sebaik sahaja Bilal usai melaungkan azan.

Itulah yang menyebabkan Bilal tidak cukup kuat untuk melaungkan azan kerana, dengan kewafatan Baginda, pasti Bilal tercari-cari kelibat dan tatapan Rasulullah sebelum dan selepas beliau melaungkan azan.

Lalu, untuk mengelakkan permintaan Saiyidina Abu Bakar itu, Bilal mengembara ke Bumi Syam, untuk beberapa ketika.

Tiba-tiba, suatu malam Bilal bermimpi didatangi oleh Rasulullah.

Rasulullah berkata, “mengapakah engkau Bilal, keras dan gersangnya hatimu lama engkau tidak muncul kepadaku?”

Sebaik sahaja Bilal terjaga, lalu dia menangis ketakutan sehinggakan ahli keluarga Bilal tidak pernah melihat Bilal dalam ketakutan yang amat sangat melalui tangisannya yang tidak keruan itu.

Lantas Bilal menceritakan akan mimpinya itu kepada Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar. Dia sangat berasa takut ditinggalkan oleh Rasulullah di akhirat kelak atas mimpinya itu.

Setelah diceritakan oleh sahabat Baginda, Saiyidina Abu Bakar, bahawa air mata yang mengalir kerana rindukan Rasulullah, tidak akan pernah ditinggal oleh Baginda, lalu Bilal berhenti menangis dan mengesat air matanya dan berasa sangat gembira mendengar akan kata-kata Saiyidina Abu Bakar itu.

Tidak lama kemudian, mereka didatangi oleh dua orang kanak-kanak.

Sapaan mesra oleh dua orang kanak-kanak itu sangat menceriakan Bilal kerana di sebelah kanannya itu Saiyidina Hasan manakala di sebelah kirinya pula Saiyidina Husin, yang merupakan cucu-cucu Rasulullah.

Beberapa kali Bilal menoleh ke muka Saiyidina Hasan kemudian melihat pula ke kaki Saiyidina Husin, kerana rupa paras Saiyidina Hasan dan kaki Saiyidina Husin, sangat mirip akan Rasulullah.

Betapa, terubat kerinduan Bilal terhadap Rasulullah lantas Bilal memeluk kedua-dua cucu Baginda itu seraya berkata, “sungguh Rasulullah, bau keringat Rasulullah aku temui pada cucu-cucumu ini Ya Rasulullah!”

Cucu-cucu Rasulullah meminta sesuatu daripada Bilal.

Apakah permintaan mereka berdua kepada Bilal?

Inshaa Allah, saya akan menulis sambungannya pada posting Jumaat minggu hadapan.

Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Wa Ala Ali Saiyidina Muhammad.

12 Rabiul Awal 1441 Hijrah.

KEMENJADIAN ANAK

“Kak, boleh tanyakah? Macam mana kakak latih anak-anak kakak pasal belajar aaah?”

Sedang saya leka dalam dunia dinding muka buku saya, di penjuru kiri kantin sekolah anak, sementara menunggu anak-anak keluar dari kelas, seorang bapa kepada salah seorang pelajar kelas saya, datang menghampiri saya lalu melontarkan soalan sedemikian rupa.

Lalu saya log out. Memberi penumpuan kepada soal bicara itu.

“Saya ini, kalau berkaitan pendidikan anak-anak saya, saya memang strict.”

Mukaddimah, pembuka bicara gelanggang.

“Pernah rakan sekerja suami saya, yang kebetulan anak-anaknya bersekolah di sekolah yang sama dengan anak-anak saya, bertanya kepada suami saya bagaimana anak-anak saya 2 tahun berturut-turut, menaiki pentas Anugerah Pelajar Cemerlang.”

“Lantas suami saya menjawab, orang rumah yang handle. Saya tidak tahu-menahu. Cuma, yang saya perasan, isteri saya cukup menjaga pola pemakanan anak-anak.”

Soalan kedua pula menyusul.

“Kakak kasi main di luarkah anak-anak kakak, macam sekitar perumahan begitu.”

“Ya, saya kasi mereka bermain di luar. Sebab kalau malar mengadap buku, terbantut pula pertumbuhan sosialisasi mereka dengan orang lain, rakan sebaya dorang.”

“Cumanya, saya bagi pemasaan dan lagi satu, dekat peperiksaan, 2 minggu sebelum peperiksaan, saya kasi bertapa dorang.”

No online games on weekdays.
No outdoor activities within that period of time.

“Pemakanan mereka, saya jaga rapi.”

Sejak 2 tahun yang lepas, tiada sebarang makanan sejuk beku dalam peti sejuk.

Apabila mereka teringin mahu makan, burger, sosej atau nugget :

3 bulan sekali makan Burger King.
3 bulan sekali makan Pizza Hut.

KFC setiap bulan.😂

Sebab, Izzatul sangat suka makan ayam goreng, sehinggakan saya belajar bereksperimentasi dengan puluhan resepi bagaimana membuat ayam goreng ala-ala KFC.

Multazam seleranya lebih kepada western food macam burger, spageti, pizza itu memang kesukaannya.

Justeru, bila mana teringin sangat mahu makan burger, Burger King dituju, Whopper Junior pilihannya.

Jikalau pula, mahu makan pizza dan spageti, Pizza Hut yang dituju.

Semuanya ini, saya susun dengan penjadualan pemakanan dalam tempoh 3 bulan sekali baharu makan.

KFC itu memang setiap bulan. Memandangkan persamaan selera makan mereka mencantum pada KFC.

Izzatul dengan ayam goreng, coleslaw dan whipped potatoes.

Multazam pula, signature box dan cheesy wedges.

Dalam peti sejuk saya di rumah, memang tiada makanan sejuk beku.

Pola pemakanan kedua buat mereka adalah makanan yang bersifat merangsang proses penaakulan otak.

Misalnya :

Habbatussauda
Almond
Kismis
Madu
Buah Tiin

Dibalut rapi pula dengan pola zikir.

Semuanya zikir Asmaul-Husna.

Ya Aziz – Maha Gagah
Ya Jabbar – Maha Perkasa
Ya Mutakabbir – Maha Megah
Ya Muhaimin – Maha Pelindung
Ya Alim – Maha Mengetahui
Ya Hakim – Maha Bijaksana
Ya Roshiid – Maha Cerdas

Bagi mereka pula, saya biasakan mereka untuk berzikir sendiri, pun menggunakan Asmaul-Husna.

Ya-Qowwiy – Maha Kuat.

Kemudian, lebihkan ulang kaji dan latih tubi itu pada bahagian mana satu yang anak-anak kurang markah atau banyak buang markah.

Misalnya, cuai.

Banyakkan latih tubi pada bahagian cuai itu.

Tidak lupa juga, latih mereka bernafas dengan betul, bagi mengelakkan mereka gemuruh, panik dan gelojoh semasa menjawab soalan peperiksaan kelak.

#MO

UJIAN TERINDAH

Pagi ini, saya menadah kedua belah cuping telinga saya untuk mengamati pengkisahan seorang kakak ini.

“Dik, kakak kecewa sangat ni, nama suami kakak tidak naik bah untuk perumahan baru di bla…bla…bla.”

Terpancar raut mukanya yang menahan sebak melalui genangan air mata yang hanya menanti detikan saat untuk membolosi empangan kolam air matanya itu.

Ditambahkan secubit garam melalui getaran suaranya yang agak garau menahan sendu di hati.

Lalu, saya menepuk lembut bahu sebelah kanannya seraya berkata, “sabar kak.”

“Adalah tu hikmahNya Allah beri ujian ini sama kakak.”

“Allah Pilih kita dengan ujian masing-masing mengikut kemampuan kita.”

Beliau ini, dalam pengamatan saya, berada dalam lingkungan 50-an. Namun, masih cergas ke hulu ke hilir mengatur keberlangsungan hidup beliau bersama suami dan 2 orang cucunya.

“Kakak fokusi suami dan cucu-cucunya sahaja. Hal lain yang bikin serabut itu, tinggalkan sahaja.”

Bukannya dia ini tidak ada rumah sendiri.

Ada rumah sendiri atas tanah pusaka lagi. Namun, ditinggalkannya rumah itu untuk anak sulungnya duduki bersama isteri dan anak-anaknya.

Kakak ini, berhijrah ke satu daerah lain untuk merutini kehidupannya bersama suami dan cucu-cucunya daripada anaknya yang lain, anak ke-2.

Apabila, saya bertanya kepada beliau mengapa sahaja dia tidak duduk sekali di rumahnya itu dengan anak menantu dan cucu-cucunya sekali?

“Kakak ni, mahu juga selesa. Nanti kalau adik sudah bermenantu, adik sendiri faham juga tu. Susah kakak mahu cakap macam mana. Cumanya, kakak mahukan, kakak tinggal di rumah yang kakak sendiri selesa mahu tinggal.”

“Ya lah, tapi itu kan rumah kakak. Kenapa kakak yang keluar rumah? Sepatutnya anak kakak, yang bertanggungjawab mencari rumah lain atau rumah sewa untuk mereka sekeluarga duduki?”

“Sudah pernah mereka menyewa tu dik. Kemahalan. Lepas itu, apa segala kerosakan dalam rumah tu, mereka kena buat sendiri. Ownernya lepas tangan saja.” Jelas kakak ini kepada saya.

“Carilah rumah sewa yang lain yang dalam kadar kemampuan anak kakak bayar.” Bidas saya pula kepada kakak ini.

“Entahlah dik. Kakak pun susah mahu cakap macam mana.”

Allahuakbar!

Apapun, permasalahan kakak ini, saya doakan Allah Permudahkan segalanya buat beliau tempuhi.

Buat kalian yang masih punyai kedua orang tua, buat saya yang punyai mertua, cukuplah semasa kita lahir dan dibesarkan sehingga peringkat kanak-kanak menyusahkan dan menjadi beban kepada orang tua.

Menginjak sekolah rendah, mulakan fasa kemandirian dan kemenjadian diri untuk survival.

Memangnya itu tanggungjawab mereka sebagai orang tua kepada kita kepada suami kita, namun janganlah sampai dewasa umur menginjak tua, kita masih lagi membebankan mereka.

Pada usia kita ini berbanding mereka, kita masih lebih kuat dalam serba serbi. Tenaga, idea, buah fikiran untuk merai kewangan dan kejayaan yang jauh lebih baik daripada mereka ini.

Justeru, ikhtiar sehabis daya kudrat upaya kita untuk mengatasi permasalahan kita sendiri tanpa meminjam bahu-bahu mereka untuk kita bersandar.

Pada usia dan fasa mereka ini, sepatutnya mereka dalam situasi beribadah dengan tenang kepadaNya.

Oleh yang demikian, berikan kepada mereka ruang dan peluang itu. Itu hak mereka.

Bukannya lagi masih disibukkan mahupun menyibukkan diri dengan hal-hal keduniaan.

#MO

BINA SIKAP PEMAAF DALAM DIRI

Pada suatu pagi, usai saya membaca mantera rutin awal pagi, sebelum anak-anak ke sekolah, ‘Ya Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir’, tiba-tiba Izzatul menapak semula ke pintu pagar rumah mendekati saya, setelah beberapa langkah kakinya menderas menuju ke kereta.

“Ibu, ibu sudah maafkan kami kah yang kelmarin tu, kami buat ibu marah?”

“Marah pasal apa?” soalan berbalas soalan.

“Kan kelmarin ibu marah adik dan abang, jadi sudahkah ibu maafkan kami?”

“Ooohh, yang pasal kelmarin tu.”

“Ya, ibu marah kamu berdua. Tapi, ibu sudah maafkan kamu juga.”

“Adik dan Azam pun begitu dengan ibu ok. Kalau ibu marah kamu, mesti maafkan ibu.”

“Ok ibu.”

“Kita marah sama orang atau orang marah sama kita, walaupun orang itu tidak meminta maaf sama kita, kita mesti maafkan dia ok.”

“Allah Bersifat Pemaaf. Kita mesti ikut Sifat Allah. Barulah Allah itu ada di sini (tunjuk hati).

“Bah ok ibu, Assalamualaikum.”

Saya memang ibu yang sangat rigid dalam membentuk anak-anak. Keras, lembut, santai, formal semuanya saya guna pakai.

Bergantung pada situasi.

Pastinya, berbuat salah kepada anak itu, ada.

Kerana, saya menentang tegar bahawa yang tua itu sentiasa benar. Manakala, yang muda ini sesat selamanya.

Sedangkan kesalahan dan kesilapan itu, dalam Islam tidak digariskan pada orang tua mahupun orang paling tua yang makan garam bertan, semuanya betul dan selamanya melurus.

Kesalahan dan kesilapan itu boleh sahaja berlaku tanpa dijumudkan kepada mitos sebegini.

Musnahlah peradaban manusia, jikalau paksi ini kita tegakkan demi memelihara konotasi ini.

Justeru, saya mendedahkan sikap pemaaf ini kepada keluarga kecil saya.

Baik saya atau suami, jikalau kami berbuat salah pada anak-anak, seperti marah anak, tertinggi suara, terherdik, terjerit, terjentik, terlastik, kami meminta maaf kepada anak-anak.

Suami, pada mulanya tidak suka sebab biasalah ego lelaki.

Namun, saya jelaskan dengan madah pujangga bahawa itu adalah sifat yang sangat mulia, menerima kesalahan diri dan meminta maaf kepada anak-anak.

Yang tua tidak semestinya betul, yang muda pula tidak selamanya salah.

Besok lusa anak-anak, akan mengikut sifat mulia ini yang dapat mengelakkan sikap dendam kesumat.

Saya ini, asalkan menjadi halilintar kepada anak-anak, saya mesti panggil mereka dekat dengan saya, dengan posisi saling berhadapan.

Saya jelaskan kesalahan mereka yang buatkan saya marah, kemudian saya meminta maaf kepada mereka, seterusnya peluk erat sampai terasa degupan jantung mereka.

Selepas itu, saya belai emosi mereka sama ada berikan mereka gajet untuk bermain permainan di alam maya dengan pemasaan ataupun belanja makan apa yang mereka sukai.

#MO

BERANI MENJADI SOLO

Saya terbaca satu perkongsian seorang sahabat muka buku yang beliau kongsikan daripada postingan orang lain.

Berkisar tentang isu kehidupan seharian. Mungkin tiada yang melaluinya, tidak kurang juga yang ramainya sedang mahupun telah melaluinya.

Adik-beradik.
Mertua.
Ipar duai.
Group whatsapps.

Saya terkesan dengan isu yang sedang viral berkaitan hal ini sehingga ada yang membunuh diri sebagai titik penyudahnya.

Saya sendiri hidup dalam keluarga besar. Dikelilingi mertua juga ipar duai biras. Selain group whatsapps.

Terlebih dahulu, saya mahu kongsikan bahawa saya ini jenis tegas, meskipun anak bongsu yang badinya manja, dependent, lemah kurang upaya.

Saya akui bahawa manja saya yang tahap dewa itu hanya kepada kedua ibu bapa saya. Arwah ayah baik pun arwah ibu, memang hanya merekalah berdua tempat saya bergolek, bermanja, memadu cinta dan kasih sayang saya kepada mereka.

Selain daripada kedua orang tua saya, manja itu, lupus.

Dengan suami pun, saya tidak bermanja. Dengan adik-beradik pun tiada. Dengan sesiapapun tiada.

Kerana manja saya itu hanya kepada kedua orang tua saya.

Justeru, sedari kecil lagi, menginjak usia 5 tahun, saya memang mengasah kemahiran diri untuk berdikari.

Saya jenis tidak suka meminta ehsan adik-beradik mahupun orang lain.

Apa hal, saya berusaha untuk membuatnya sendiri tanpa pertolongan orang lain.

Sikap itu terbawa-bawa sehinggalah ke hari ini.

Sebab itu, sehingga ke hari ini, saya tidak pernah meminjam wang kepada adik-beradik saya, adik-beradik suami, mertua apatah lagi orang lain.

Susah macam manapun, saya usaha sendiri agar sentiasa berkecukupan sehingga akhir bulan atau sehingga masalah kewangan itu surut. Namun, untuk bermadah pujangga mengemis ehsan, tidak akan sama sekali!

Entah mengapa. Cumanya, hati saya tidak mahu membeban orang lain. Satu, boleh jadi mereka yang kita minta tolong itu, sedang perlukan duit juga untuk kelancaran hidup mereka.

Kedua, saya mengelak sesi ungkit mengungkit. Kerana hati manusia ini, sentiasa berbolak-balik. Hari ini bagi pinjam, esok lusa jadi renggang.

Baik ahli keluarga sendiri mahupun kawan atau orang lain, sama sahaja.

Saya terimbau kembali, saat suami mahu meneruskan fasa hubungan kami kepada ikatan perkahwinan, saya meminta 2 perkara sahaja.

Satu, dia tidak tinggal solat. Jadi imam kepada saya waktu solat.

Kerana ramainya yang muslim, namun solat ditinggalkan sewenangnya.

Kedua, saya mahu duduk rumah sendiri. Tidak kisahlah rumah sewa atau rumah sendiri, janji saya tidak tinggal serumah dengan keluarga mertua mahupun keluarga sendiri.

Saya mahu dalam rumah saya duduki itu, hanya saya, suami dan anak-anak sahaja.

Sekiranya, dia boleh bersetuju dengan kedua perkara di atas ini, silakan ketemu dengan waris saya untuk selanjutnya.

Group whatsapps pula, saya tidak sertai. Saya memang left. Tidak betah duduk dalam group whatsapps.

Semuanya hanya kerana satu.

Saya mengelak untuk hubungan sedia ada menjadi berantakan.

Saya mahu duduk rumah sendiri kerana saya mahu membentuk pola kehidupan kami suami isteri. Tanpa ada campur tangan mana-mana keluarga.

Saya mahu tinggal rumah sendiri supaya mudah untuk saya mencorakkan anak-anak saya mengikut kemahuan saya. Tanpa ada campur tangan mana-mana keluarga.

Saya mahu bergaduh setiap hari dengan suami atau biarkan rumah saya menjadi tongkang pecah, ikut rentak saya sendiri.

Mahu kemas rumah setahun sekali atau setiap hari, saya sendiri tentukan.

Saya ini pula, jenis tidur awal. Jam 9 malam mesti mengantuk. Sebab dari dulu lagi pola tidur saya sebegini.

Justeru, saya sangat betah tinggal bersendirian. Suka hati saya mahu buat apa.

Group whatsapps pula, jikalau kita ada unsur perli, mengaib bagai, saya tidak suka duduk dalam group whatsapps sedemikian.

Ada isu, boleh private message (pm). Berbincang secara orang waras. Ilmu itu memang arasnya tinggi. Namun, apapun ilmu di dunia ini, adab lah mengatasi segala ilmu di dunia ini.

Kesalahan ramai orang, memandang pada arasnya sebagai orang tua, paling tua, paling berpengalaman, paling segala paling sebagai tiket untuk menghentam, mengadu domba, mencerca dan sekutu dengannya semata-mata untuk kepuasan hati.

Jumpa orang ini orang itu, menjadi internet bergerak. Menghebah aib orang.

Ipar duai biras pula, kalau memangnya kita tidak serasi, sampai akhir hayatlah kita dibenci meskipun, pelbagai usaha merai ukhwah untuk bertaut kembali.

Sudahnya, kita menjadi bahan bawangan sesama mereka. Jumpa sepupu sepakat, menjadi juruhebah.

Hidup ini, tidak kisahlah belum kahwin atau pun telah berkahwin, jadilah diri sendiri. Tidak perlu hipokrit semata-mata merai pujian, sanjungan orang lain.

Sebaik manapun kita, pasti ada cacat cela nya. Pun begitu, seburuk manapun kita pasti ada kebaikan kita, buat mereka yang sentiasa menyuluh kebaikan di sebalik keburukan diri kita.

Kadang dengan kita ok, dengan orang lain tidak.

Kadang dengan orang lain ok, dengan kita tidak.

Justeru, perlu tolak ansur, bertimbang rasa dan saling menyantuni.

Namun, jikalau kita banyak kali beralah, sebelah pihak lagi terus mendabik dada. Rehatlah. Lone ranger itulah yang paling baik.

Tiada lagi manusia yang semuanya buruk.
Tiada lagi manusia yang semuanya baik.

Melainkan Rasulullah, yang dicuci hatinya dengan air zam-zam oleh Malaikat Jibrail.

Jadi, kita yang lemah ini, tidak perlu meratap hiba bila mana adik-beradik, mertua, ipar duai biras mahupun kawan menggelapkan dunia kita.

Rasulullah suri teladan. Bersendirian itu lebih baik jikalau itu yang mendekatkan kita kepada Allah daripada berjemaah namun menjauhkan kita daripadaNya.

Bentuk garis persempadanan.

Ada masa tertentu untuk kita buka garis itu. Bukannya sesuka hati dibuka demi menjaga hati orang lain.

Jaga hati sendiri dahulu. Apabila kukuh, baharulah buka garis sempadan itu kepada orang lain. Itupun ada masa-masa tertentu.

Semuanya Lillahi Ta’ala.

Kita sedang mujahadah menjadi lebih baik untuk bekalan bertemu Dia. Takut-takut tanah pun tidak menerima mayat kita kerana banyaknya dosa kita, bila mana kita tidak berani untuk menjadi lone ranger.

Mereka ini pula apabila mengata, mencerca mengumpat, menfitnah bagai, biarkan sahaja.

Kita yang dapat pahala. Mereka pula dapat dosa.

Apa yang kita fokusi, keluarga kecil kita sahaja. Balik kampung atau terserempak di mana-mana senyum seperti biasa. Walaupun kita maklum, bertan cercaan, kutukan dilemparkan kepada kita. Jadi OKU.

Kemudian, sampai masanya balik ke rumah sendiri, fokusi hal sendiri lagi. Begitulah kitarannya.

Rezeki setiap orang itu berbeza.

Ada punyai suami baik, mertua ipar duai tidak baik.

Ada punyai suami kurang baik, mertua ipar duai sangat baik.

Ada punyai suami baik, mertua ipar duai baik.

Ada punyai suami tidak baik, mertua ipar duai pun tidak baik.

Hentikan keluh kesah. Sayangi diri sendiri.

Diri kita, kita lebih tahu apa yang buatkan kita berasa tenang. Pedulikan apa kata orang lain.

Allah itu Maha Mengetahui niat hambaNya.

Kita yakini sahaja bahawa Malaikat Raqib dan Atid itu sentiasa celik setiap detik untuk menulis buku catatan kita untuk dibacakan di akhirat kelak.

#MO