SALAM SYAWAL 1441H

Alhamdulillah, setelah sebulan berpuasa dalam tempoh pkp ini, akhirnya dapatlah meraikan Hari Kemenangan, 1 Syawal.

Walaupun tidak dapat balik beraya di kampung seperti mana sebelum ini, namun ia suatu pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan.

Bayangkan selama ini, menyambut Syawal di rumah emak mertua ataupun di kampung halaman, kali ini sangat berbeza sekali.

Menyambut 1 Syawal di rumah sendiri dengan menyediakan juadah hari raya sendiri sungguh mengujakan buat saya.

Kalau sebelum ini, hanya menjadi tukang kupas bawang dan segala apa yang patut untuk membantu emak mertua mahupun keluarga di kampung untuk meraikan 1 Syawal.

Kini, pagi tadi saya sendiri menyinsing lengan masuk ke dapur sendiri dan menyediakan juadah raya.

Saya mencadangkan kepada suami untuk menu pagi ini ialah daging masak hitam, daging masak rendang, acar buah dan air koktel.

Manakala suami mengambil alih bahagian memasak nasi beriani ayam.

Saya memang suka makan daging dimasak rendang dan dimasak hitam. Sebab itu, saya mencadangkan menu tersebut kerana selama ini hanya makan hasil masakan orang lain.

Kini, saya cuba untuk memasaknya sendiri dengan cara sendiri.

Alhamdulillah, walaupun pertama kali memasak menu ni, namun ianya menjadi dan sangat menepati anak tekak kami sekeluarga.

Saya mengurangkan kuantiti cili kering itu, supaya anak-anak dapat menjamahnya sekali kerana anak-anak saya tidak biasa makan lauk-pauk yang pedas.

Setelah 2 hari, saya beruasaha untuk mencari daun kunyit di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Mini Tuaran, akhirnya saya tidak berjodoh juga dengan si daun kunyit.

Maka, akhirnya saya tetap memasak rendang daging ini kerana semua bahannya telah sedia ada.

Kemudian, saya memasak menu kedua, daging masak hitam.

Alhamdulillah, menu inipun mengena selera kami terutama saya dan suami. Memandangkan anak-anak kurang biasa memakan daging kerana saya sendiri jarang membeli daging untuk dijadikan menu harian keluarga.

Selain untuk tujuan kesihatan, saya juga selau menuruti menu kesukaan anak-anak yang lebih suka makan ayam berbanding daging.

2 lauk-pauk ini saya padankan dengan acar buah.

Acar buah ini memang saya selalu buat kerana saya sangat suka makan ayam masak merah dan pastinya dipadankan dengan acar buah ini.

Namun, acar buah kali ini pada saya kurang menyengat kerana nenas itu sendiri agak mentah sedikit.

Sedangkan saya suka nenas yang telah masak yang agak lembik sedikit untuk dijadikan acar buah.

Kelmarin semasa saya melilau mencari nenas, memang rata-rata nenasnya kurang masak dan kerana saya tiada pilihan, terpaksalah saya membelinya sahaja.

Nasi beriani ayam ini, hasil air tangan suami kerana beliau sendiri menawarkan diri untuk mengambil bahagian untuk memasak nasi.

Dan beliau sendiri yang memilih nasi beriani memandangkan Izzatul sangat suka makan nasi beriani ayam.

Di tambah dengan sebatang lemang hasil berian team jawatankuasa perumahan kami ini.

Untuk keluarga kecil kami ini, lebih daripada mencukupi dengan menu juadah kami yang serba ringkas ini.

Kemudian, saya padankan pula dengan air koktel.

Saya main campak sahaja.

Setin buah-buahan campur.

Setin buah laici.

Setin jagung.

Setin cincau.

Setin kacang merah.

Kemudian, saya masukkan sirap ros dan setin susu cair.

Jadilah air koktel.šŸ˜

Momen memasuki dapur sendiri dan memasak untuk juadah raya memang sesuatu yang menyeronokkan.

#MO

Leave a comment