BERDUA KELUAR DALAM FASA PKP

Pagi tadi, sekitar jam 9:30 pagi, saya keluar membeli sedikit barangan keperluan dapur yang stok tinggal sedikit dan sebahagiannya lagi telah habis.

Memandangkan kelonggaran telah diberikan untuk 2 orang dalam satu kenderaan maka, saya membawa Multazam bersama memandangkan dia telah capai taraf dewasa 29 Mac yang lalu.

Kami pergi ke kedai serbaneka yang berdekatan sahaja. Mula-mula tu kami singgah di kedai yang sederet dengan kedai 99 speedmart selepas bulatan Berungis.

Dapatlah 2 buku roti. Sebuku roti, suami mahu buat sedekah malam ini sebagai roti telur untuk kudapan geng perumahan kami ini.

Saya bersetuju dalam diam. Sebab baik saya mahupun suami, kami punyai kebersamaan iaitu suka menjamu makan orang lain walaupun air tangan kami ini sekadar amatur sahaja.

Sejak 1 ramadan, suami bercerita kawan ini kawan itu yang masing-masing membawa kudapan sambil sembang pacak bersama.

Malam ini, suami mahu bawa kudapannya pula.

Sebuku lagi, saya mahu buatkan Izzatul roti sandwic. Walaupun sebuku itu banyak untuk dibuat roti sandwic, namun lebihannya nanti bolehlah diberikan kepada jiran tetangga yang sentiasa memberikan pelbagai jenis juadah semenjak ramadan ini.

Saya pun jadi seronok fasa pkp ni. Dapat bertukar juadah selain memperbaiki kebolehan dalam bab memasak.

Kena lagi jiran sebelah rumah saya ni, memang professional bab masak.

Setiap hari beliau memberikan kami macam-macam juadah yang setiap hari berlainan.

Beliau anak sulung yang memang terbiasa bergelumang dengan dapur kerana saya sendiri melihat kakak sulung saya yang kerjanya banyak di dapur membantu arwah ibu mengurus makan minum kami adik-adiknya.

Kemudian, beliau ini memangnya suka memasak. Bila memasak, dengan sepenuh jiwa. Kiranya masak dari hati.

Ada juga orang yang memang anak sulung tapi, tidak minat bab memasak.

Macam saya sendiri, jujurnya saya kurang minat bab memasak kerana sedari kecil sehinggalah meningkat dewasa, banyaknya masa saya habiskan dengan alam persekolahan.

Kemudian, saya sendiri kurang minat memasak. Kalau cuti sekolah atau universiti, saya lebih suka melakukan kerja dalam rumah yang lain selain memasak.

Menyapu lantai, mengemas, membasuh kain dan sebagainya janji bukan memasak.

Apabila berkahwin, baharulah saya berjinak-jinak dengan dunia masakan. Kenal halia, lengkuas dan sebagainya.

Walau bagaimana pun, sejak berkahwin dan memiliki 2 orang anak ini, saya belajar memasak dari hati walaupun banyaknya saya memasak sebab lapar.😅

Baiklah. Kembali kepada cerita asal tadi pergi ke kedai serbaneka berdekatan.

Setelah itu, kami meneruskan pergerakan kami menuju ke One Superstore laluan arah menuju ke pekan Tuaran.

Di sini kami membeli agak banyak barangan keperluan.

Nasib baik ada Multazam, membantu saya mengangkat barangan ke tempat parkir kereta. Kalau saya seorang jenuh dengan keadaan berpuasa lagi.

Kemudian, kami patah balik dan singgah sekejap di Mengkabong Centre untuk membeli beras memandangkan di One Superstore tadi, habis stok. Stok yang ada adalah beras wangi sahaja.

Nasib baik dapat stok beras Cap Anggur 10kg di Mengkabong Centre.

Baharulah kami bergerak pulang ke rumah.

Sebenarnya, sejak bergerak keluar dari kawasan parkir kereta di kawasan perumahan tadi, saya agak kekok memandu kereta. Sedikit gementar. Mungkin sebab agak lama tidak memandu kereta.

Lama-lama perasaan gementar itupun menghilang apabila memandu menuju ke pasaraya One Superstore tadi.

Multazam menjadi canggung seketika sebab 2 bulan tidak menaiki kereta. Sepanjang perjalanan, dia sibuk merakam suasana persekitaran termasuklah keadaan jalan raya yang sedikit lengang.

Inilah beberapa barangan keperluan yang kami beli tadi.

#MO

Leave a comment